Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Bekas Adun Paloh ditidurkan akibat komplikasi demam denggi

Nozula Mat Diah disahkan menghidap demam denggi pada Ahad lepas. (Gambar Bernama)

GUA MUSANG: Bekas Adun Paloh Nozula Mat Diah ditidurkan berikutan berada dalam keadaan kritikal selepas mengalami komplikasi akibat demam denggi.

Isterinya Mastura Osman, 51, berkata, Nozula ditidurkan sejak 3 petang semalam selepas doktor mendapatkan kebenaran daripada beliau dan ahli keluarga yang lain.

“Beliau disahkan menghidap demam denggi pada Ahad lepas setelah menerima rawatan awal di Klinik Kesihatan Chiku 3 sebelum dirujuk ke Hospital Gua Musang dan seterusnya dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai pada hari yang sama,” katanya.

Mastura berkata, demam denggi teruk yang dihidapi suaminya memberi kesan terhadap organ dalaman seperti paru-paru, hati dan buah pinggang.

Mengulas lanjut, Mastura berkata, keputusan menidurkan suaminya itu dibuat bagi mengelakkan lebih banyak jangkitan kuman pada organ dalaman

“Saya berharap rakyat dan semua kenalan suami dapat mendoakan dan membuat solat hajat supaya beliau sembuh seperti biasa,” katanya.

Nozula, 66, merupakan Adun Paloh Barisan Nasional (BN) selama 28 tahun sejak 1990.

Pada 23 Julai lepas, Nozula yang turut menghidap penyakit strok mendapat kunjungan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi di kediamannya di Felda Chiku 3.