Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Banjir termenung di Kedah jika hujan berterusan, kata APM

Anggota APM Kota Setar memindahkan mangsa banjir dari Kampung Bukit, mukim Derang ke pusat pemindahan sementara di Pokok Sena, hari ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah menjangkakan banjir “termenung” mungkin berlaku di Kedah jika hujan berterusan dan air banjir bertembung air pasang Jumaat ini.

Ketua Bahagian Operasi Bencana APM Kedah, Saifuddin Abdullah berkata cuaca kembali cerah hari ini, namun dikhuatiri jika hujan selepas ini, ia akan menyebabkan banjir di lima daerah dan lambat surut.

“Dalam pemerhatian saya, cuaca kembali cerah hari ini dan berharap (ia) berterusan dan air dapat bergerak laju ke laut, namun kita juga bimbang situasi air pasang akan berlaku pada 29 Sept sehingga 2 Okt, jadi saya harap air ini dapat surut sepenuhnya sebelum air pasang berlaku.

“Sekiranya air banjir bertembung air pasang, banyak lagi penempatan boleh dinaiki air dan lebih ramai mangsa akan dipindahkan,” katanya menurut Bernama selepas tinjauan di Sungai Anak Bukit, Taman Aman, Alor Setar.

Beliau berkata, pihaknya sudah bersiap sedia dengan kekuatan aset darat dan air bagi menghadapi bencana banjir di daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Kuala Muda.

Setakat ini, pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kubang Pasu, Kota Setar dan Pokok Sena.

“Aset darat membabitkan 12 lori, 12 pacuan empat roda, van (dua) dan ambulans (lapan) dan aset air membabitkan 85 bot dengan kekuatan 603 anggota.”

Untuk rekod, jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 268 orang daripada 81 keluarga pagi tadi, berbanding 177 orang daripada 41 keluarga malam tadi.