Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Aset TH dipulangkan hasil kejayaan pelan penstrukturan dan pemulihan, kata menteri

Mohd Naim Mokhtar berkata, keputusan pengembalian aset itu dibuat dengan mengambil kira keupayaan dan kestabilan kewangan TH pada masa ini.

PETALING JAYA: Keputusan kerajaan mengembalikan aset Lembaga Tabung Haji (TH) adalah hasil kejayaan pelan penstrukturan dan pemulihan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Naim Mokhtar.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira keupayaan dan kestabilan kewangan TH sekarang.

“TH akan memulakan perbincangan secara rasmi bersama pihak Kementerian Kewangan untuk langkah-langkah pentadbiran pengambilan semula aset TH,” katanya dalam kenyataan.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus berusaha bersungguh-sungguh untuk melonjakkan TH dengan tadbir urus integriti dan profesional demi menjaga kepentingan umat Islam dan para pendeposit.”

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pengembalian aset TH yang sebelum ini diserahkan kepada syarikat tujuan khas.

Anwar berkata, keputusan itu diambil berikutan lembaga tersebut kini sudah pulih dan diuruskan dengan baik

Pada 11 Dis 2018, TH mengumumkan pemindahan aset tidak menguntungkan hampir RM19.9 bilion kepada SPV tersebut bagi memantapkan semula kedudukan kewangannya.

Pada April 2019, Mujahid Yusof Rawa, ketika itu menteri bertanggungjawab atas TH, berkata aset tersebut dipindahkan kepada Urus Harta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) bertujuan menutup jurang defisit agensi itu.

Dalam pada itu, Naim berkata, keputusan yang diambil Anwar selaku menteri kewangan membuktikan komitmen tidak berbelah bahagi kerajaan untuk memartabat TH selaku institusi berdaya saing serta model pengurusan terbaik yang menghayati nilai-nilai Islam.