Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Anwar akui rakyat resah tekanan harga barang

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan sedar ada masalah termasuk keresahan sosial besar dalam kalangan rakyat. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kerajaan sedar berlaku keresahan sosial besar susulan tekanan harga barang, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya, pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Ali dan timbalannya, Fuziah Salleh sudah diminta memberikan perhatian menangani isu tersebut.

“Memang ada masalah saya akui ada masalah, harga barang dan juga keperluan.

“Beberapa negara ada keresahan sosial yang besar kerana sekatan eksport beras, peningkatan cukai eksport bawang umpamanya itu semua memberikan kesan kepada ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ulang Tahun Ke-60 Lembaga Tabung Haji.

Beliau berkata, kerajaan sedang menangani permasalahan berbangkit termasuk tambahan bantuan.

“…tapi kita cuba tangani bila MoF (Kementerian Kewangan) perlu tampung melalui bantuan kita teruskan,” katanya.

Sebelum ini, bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan perlu melaksanakan segera pelan jangka pendek bagi mengatasi isu kenaikan harga dan kekurangan bekalan barangan termasuk beras.

Katanya, langkah segera perlu dibuat memandangkan rakyat “sudah bising” dan ia menuntut kerajaan bertindak.

Sementara itu, mengulas berhubung rombakan Jemaah Menteri, Anwar berkata ia bukan keperluan mendesak kerana kekosongan jawatan hanya melibatkan satu kementerian sahaja, merujuk jawatan yang sedang dipangku Armizan kini selepas pemergian Salahuddin Ayub, Julai lalu.

Armizan juga merupakan menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal Sabah, Sarawak dan tugas-tugas khas).