Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Anggap diri tak layak, Sanusi tolak tawaran tanding naib presiden PAS

Sanusi Nor berkata beliau tidak layak berada dalam kedudukan ‘top 5’ kepimpinan PAS.

PETALING JAYA: Menteri Besar Kedah Sanusi Nor mengakui dilamar bertanding jawatan naib presiden PAS pada pemilihan parti bulan depan, namun menolaknya.

“Saya ada (terima tawaran). Saya tolak. Saya rasa saya tak padan (sesuai) jadi naib presiden, jadi AJK padan lah,” katanya pada sidang media di Alor Setar.

“Saya akan bertanding AJK sebab saya rasa saya patut duduk situ saja. Saya tahu diri saya tang (di) mana,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat penggal 2021-2023.

Ketua pengarah pilihanraya Perikatan Nasional (PN) itu menyifatkan dirinya masih “tidak layak” untuk duduk di kerusi “top 5” kepimpinan PAS walaupun menjadi seorang menteri besar.

“Dalam PAS, kualiti untuk memimpin PAS dengan kualiti untuk memimpin dalam sektor lain, berbeza. Ciri dia tak sama. Kelayakan tak sama.

“Seseorang jadi calon boleh tapi nak pimpin PAS, ada ciri lain lagi… sebab tu di Kedah, saya boleh jadi MB, tapi pesuruhjaya orang lain,” katanya.

“Pesuruhjaya ni memimpin parti, memimpin jemaah, dia ada kualiti lain, ciri lain. Saya tak ada ciri tu. saya jadi ni (MB) boleh lah.”

Beliau juga tidak menolak jawatan presiden PAS yang disandang Ahli Parlimen Marang Hadi Awang tidak akan dicabar.

“Saya rasa tak ada pertandingan. Tak ada kot orang nak bertanding jadi presiden PAS.”

Hadi dan timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man, mempertahankan jawatan masing-masing selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti bagi sesi 2021-2023 pada Muktamar Tahunan Ke-67 di Terengganu, November dua tahun lepas.