Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Ambil serius teguran dalam laporan ketua audit, KPPA gesa ketua jabatan

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Zulkapli Mohamed menyeru semua penjawat awam agar berpegang kepada nilai integriti dalam usaha memperkasakan pembangunan ekonomi.

PUTRAJAYA: Ketua setiausaha dan ketua jabatan diingatkan agar memberi perhatian serius terhadap teguran yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bagi mengurangkan isu ketirisan, pembaziran dan salah guna kuasa.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Zulkapli Mohamed berkata, langkah berkenaan merupakan usaha ke arah memartabatkan integriti dan akauntabiliti perkhidmatan awam.

“Mereka (ketua setiausaha dan ketua jabatan) juga diminta bersiap siaga dengan sebarang teguran (LKAN) yang akan dibentangkan di Parlimen bulan depan.

“Selaku pegawai pengawal di setiap kementerian dan jabatan yang diterajui, integriti merupakan perkara yang perlu diberi keutamaan,” katanya dalam kenyataan hari ini sempena Persidangan Pemerkasaan Integriti anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 27 Sept lepas.

Zulkapli berkata, penjawat awam bertanggungjawab memastikan setiap modal insan dalam organisasi memahami dan menghayati sifat jujur serta amanah bagi membolehkan nilai murni tersebut diterjemahkan dalam setiap tindakan.

Katanya, berpegang kepada prinsip “amanah dijulang, integriti dipegang, kejujuran diserlahkan”, semua penjawat awam perlu berpegang kepada nilai integriti dalam usaha memperkasakan pembangunan ekonomi seperti digariskan dalam kerangka Ekonomi Madani.

Zulkapli berkata, dengan iltizam yang kukuh untuk menjauhi rasuah dan salah guna kuasa menerusi integriti, penjawat awam dapat melonjakkan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang bermaruah dan disegani di persada antarabangsa.

Persidangan itu julung kali diadakan dengan tema “Membudaya Integriti, Memperteguh Malaysia Madani”.

Antara objektif persidangan tersebut ialah untuk menjadi platform bertukar pandangan, mencari kaedah terbaik bagi meningkatkan aspek tatakelola dalam pelaksanaan fungsi dan tanggungjawab kementerian, jabatan dan agensi serta membincangkan pelbagai isu berkaitan dapatan audit dan langkah penambahbaikan.