Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Akui peluang tipis, veteran Umno tetap mahu parti tanding di Kemaman

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias di Parlimen Kemaman kerana ada unsur sogokan.

PETALING JAYA: Seorang veteran Umno berpendapat parti itu perlu bertanding pada PRK Kemaman jika diadakan susulan pembatalan kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 oleh Mahkamah Pilihan Raya baru-baru ini.

PRK akan diadakan jika PAS tidak merayu keputusan dibuat Hakim Anselm Charles Fernandis itu sehingga 3 Okt ini. Kemenangan dengan majoriti 27,179 undi calonnya Che Alias Hamid terbatal kerana ada unsur sogokan.

Abdul Rahman Bakar yang juga bekas ahli majlis kerja Tertinggi Umno berkata walaupun keputusan PRU15 menyaksikan bekas menteri besar Terengganu Ahmad Said tewas teruk namun parti itu harus memanfaatkannya untuk menguji kekuatan.

“Walaupun mustahil menang di Kemaman, tapi kalau tak tanding makna kita menyerah kalah.

“Kalau tak bertanding kita tak tahu masalah BN (Barisan Nasional) Terengganu, kena masuk untuk jadikan kayu ukur sama ada rakyat terima atau sokongan semakin lemah,” kata bekas Ahli Parlimen Marang itu kepada FMT.

“Tak pernah dalam sejarah BN kita tak tanding, buat apa kita fail petisyen di mahkamah kalau tak mahu bertanding.”

Sebelum ini, Ahmad yang juga ketua Umno Terengganu berkata parti itu sedia bertanding di Parlimen Kemaman dan ‘tidak serik’ jika ia diminta pucuk pimpinan berbuat demikian, walaupun kalah di semua kerusi Parlimen, November tahun lalu dan PRN pada 12 Ogos.