PETALING JAYA: Sembilan individu terselamat daripada kebakaran sebuah bas Rapid KL di Jalan Penchala, di sini pagi tadi.
Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) berkata, bas dalam laluan T640 (LRT Taman Jaya – Taman Sri Sentosa) itu terbakar di perhentian bas PJ465 sepanjang Jalan Penchala dekat PJ Old Town.
Katanya, tiada kecederaan dialami pemandu bas dan lapan penumpang yang kemudian mengambil pengangkutan alternatif ke destinasi mereka.
“Pihak bomba tiba di lokasi kejadian pada 11.15 pagi. Kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya pada 12 tengah hari.
“Tiada kerosakan awam pada harta benda awam. Punca kebakaran masih dalam siasatan.
“Rapid Bus akan memberikan kerjasama penuh kepada polis bagi menjalankan siasatan ke atas insiden itu,” katanya dalam kenyataan.