Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

2 pelajar dikhuatiri lemas ketika mandi air terjun

Seramai 12 anggota bomba dan penyelamat mencari di kawasan tepi air terjun, tetapi tidak menemui kedua-dua mangsa.

PETALING JAYA: Dua pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) dikhuatiri lemas ketika bermandi-manda bersama tujuh rakan di Air Terjun Tasik Puteri, Bukit Besi, Dungun.

Muhammad Khalili Hasnol dan Muhammad Qamarul Arifin Mohd Ramly, masing-masing berusia 20 tahun, dipercayai dihanyutkan arus deras kira-kira 5.30 petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Shariffuddin Ali, berkata 12 anggota digerakkan selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira 5.47 petang.

“Kita membuat pencarian di kawasan tepi air terjun dan setakat ini kedua-dua mangsa belum ditemui.

“Kita juga akan membuat selaman dengan bantuan pasukan penyelamat di air dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Rakan mangsa, Muhammad Fadli Baharudin, 20, berkata kejadian berlaku tidak sampai 20 minit sebaik mereka tiba di air terjun itu.

“Ketika kejadian, saya nampak Qamarul dan Khalili terkapai-kapai dan tenggelam timbul, seolah-olah meminta tolong. Seorang rakan kami cuba berenang ke arah mereka, namun gagal selamatkan mereka.

“Kami cuba meminta bantuan penduduk kampung dan menggunakan pelampung menyelamatkan mereka, namun gagal.”