Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

15 rumah kedai ranap terbakar di Jitra

Sebanyak 15 rumah kedai di Kampung Sungai Korok, Jitra terbakar dengan operasi pemadaman membabitkan 70 anggota bomba termasuk bomba sukarela. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Sebanyak 15 rumah kedai ranap dalam kejadian kebakaran di Kampung Sungai Korok, Jitra, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba Jitra Mohd Bustan Karudin, berkata tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 1.25 pagi dengan 10 anggota digegaskan ke lokasi kejadian.

Katanya, operasi turut dibantu 60 anggota lain dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Ayer Hitam, Tunjang, Kilang Tebu, Simpang Empat, Padang Sera, Kundur, Kuala Kedah, Kampung Berjaya, Kota Sarang Semut, Mergong, dan Kodiang.

“Api berjaya dikawal pada 3.20 pagi. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya menurut Harian Metro.

Dalam pada itu, mangsa Mohd Akram Mohd Johari, 31, berkata dia hanya mengetahui kejadian selepas dimaklum orang ramai yang datang ke rumahnya memberitahu kedai runcit diusahakan bersama adik, Mohd Aslam, 22, terbakar.

“Memang sedih la tengok kedai runcit yang diusahakan sejak dua tahun lalu habis musnah kerana barang-barang dalam kedai tu banyak, semuanya terbakar tapi tak tahu jumlah kerugiannya lagi.

“Sebelah kedai kami tu, kedai motosikal manakala yang lain tu kebanyakannya kediaman penduduk tetapi semuanya sempat keluar menyelamatkan diri ketika kejadian,” katanya menurut laporan itu.